Friday, May 30, 2008

Anda Berhutang? Selesaikan...

HUTANG! Ada masa berhutang memberikan kesenangan, malah keselesaan, tetapi ada ketika menyebabkan diri merana apabila tersilap langkah.Justeru, Rasulullah s.a.w selalu meminta perlindungan kepada Allah daripada terjerat dengan musibah hutang.

Dalam satu hadis diriwayatkan Abu Daud, baginda berdoa, maksudnya: “Wahai Tuhanku! Aku berlindung diri kepadamu dari terlanda hutang dan dalam kekuasaan orang lain.”Hutang mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah wang dan lain-lain yang dipinjam daripada orang lain.Mutakhir ini istilah hutang sudah jarang diungkapkan, sebaliknya pinjaman atau loan yang lebih kerap disebut, namun membawa maksud yang sama.Jika dulu hutang-piutangnya adalah ringkas, tetapi kini dengan bilangan penduduk yang semakin besar, urusan itu menjadi semakin kompleks, malah wujud pelbagai jenis hutang, sehingga kadangkala sukar bagi sesetengah pihak untuk memahaminya.

Hari ini masyarakat baik di desa mahupun di kota tidak dapat mengelak daripada berhutang, sedikit atau banyak, seperti berhutang dengan bank, koperasi, majikan, peruncit, saudara mara, rakan atau dengan ceti haram.Segolongan berhutang kerana terpaksa bagi memenuhi keperluan asasi yang sangat mendesak seperti untuk mendapatkan makanan dan tempat berteduh, manakala segolongan pula untuk mengejar keseronokan.Gara-gara berhutang juga menyebabkan beban kewangan bertambah, malah semakin banyak dihutang semakin berat bebanannya, sehingga tidak tertanggung untuk membayar semula dan akibatnya membawa kepada pelbagai musibah.Ternyata berhutang ada baik dan buruknya. Kena cara ia membawa kebaikan, tetapi jika tidak seperti berhutang untuk berjudi dan berfoya-foya sudah pasti membawa keburukan.

Sejauh mana Islam melihat permasalahan ini? Apakah orang Islam dibenarkan berhutang, sedangkan di sebalik kebaikannya, ada juga keburukan yang menanti?Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zaharuddin Abdul Rahman, berkata Islam mengharuskan umatnya berhutang hanya ketika benar-benar terdesak, bukan untuk perkara tambahan dalam kehidupan.Beliau berkata, berhutang sewenang-wenangnya dengan tujuan suka-suka kepada perkara yang tidak menjadi keperluan adalah dilarang.“Orang Islam sepatutnya tidak berhutang untuk benda tambahan atau sampingan seperti berhutang untuk mengubah suai kediaman,” katanya.Tidak salah untuk berhutang kerana tidak semua mempunyai kewangan yang stabil, malah ada yang terpaksa hidup mengharapkan belas ihsan orang lain, tetapi sebelum berhutang perlu berhati-hati, mengambil kira keperluan dan kemampuan membayar balik hutang.Jangan sampai disebabkan hutang membuatkan hidup tidak tenteram, asyik memikirkan hutang, sentiasa diburu pemberi hutang, sehingga bekerja pun untuk membayar hutang, membuatkan kenikmatan hidup mula pudar.

Ini bertepatan juga dengan satu hadis diriwayatkan oleh Ahmad bermaksud: “Berhati-hati dengan hutang, sesungguhnya berhutang itu suatu kesedihan pada malam hari dan kerendahan diri (kehinaan) di siang hari.”Zaharuddin berkata, pemberi hutang pula sepatutnya menggunakan konsep sama banyak dengan jumlah hutang, bukannya mengenakan wang faedah.“Jika pemberi hutang dapat menggunakan konsep sama banyak, ia adalah satu contoh yang sangat terpuji. Malah, nabi kata pemberi hutang akan dibalas hingga 18 kali ganda lebih besar daripada amalan sedekah dengan 10 kali ganda,” katanya.Ini bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah r.a, berkata seseorang; wahai Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda bersabda; memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya.”Katanya, seseorang berhutang wajib membayar balik (bagi yang berkemampuan) kerana ada hadis yang menyatakan mereka tidak berbuat demikian bila tiba waktunya dianggap orang yang zalim dan boleh dihukum. “Jika tidak bayar pelbagai sifat keji timbul, seperti sifat orang munafik, bila bercakap dia menipu, bila berjanji dia mungkiri, kerana untuk mengelakkan diri daripada membayar hutang,” katanya.Satu hadis berbunyi: “Sesiapa berhutang wang kepada orang lain dan berniat akan mengembalikannya, maka Allah akan luluskan niatnya itu, tetapi sesiapa mengambilnya dengan niat akan membinasakan (tidak membayar), Allah akan merosakkan dia.” (Riwayat Bukhari)Dalam Islam, konsep umum yang ditekankan ialah kesederhanaan. Sekiranya umat Islam mengamalkan konsep kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan, termasuk ketika berbelanja, sudah tentu tidak berlaku kesempitan wang dan terhindar daripada hutang.Tetapi jika berbelanja boros, sesedap rasa, tidak setimpal dengan kemampuan kewangan sudah tentu terjerat dengan hutang. “Dan jangan kamu berlebih-lebihan sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.” (al-An’am: 141)

Implikasi Amalan Berhutang:

1) Berhutang jika diamalkan akan menjadi satu budaya dalam kehidupan manusia yang boleh mendatangkan kesan negatif seperti muflis disebabkan bebanan hutang yang tinggi serta gagal melunaskan hutangnya.

2) Jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman, hidupnya dalam kancah resah gelisah dihantui oleh bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi.

3) Seseorang yang terbeban dengan hutang akan memungkinkan ia melakukan pelbagai perkara dilarang syarak seperti mencuri dan menjual maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutangnya.

4) Orang berhutang akan terikat hidupnya di dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya setelah meninggal dunia sehinggalah dilunaskan segala hutang piutangnya semasa hidup. Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya.”

5) Amalan berhutang tidak hanya membabitkan kehidupan dunia, malah berpanjangan ke Hari Akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi.”

6) Mereka berhutang walau sebanyak manapun amalan kebaikan dilakukan, tidak akan selamat di dunia dan di akhirat sekalipun dia mati syahid. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Semua dosa-dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya.” (Riwayat Bukhari, Tirmidzi, An-Nasai' dan Ibn Majah)

dipetik dari http://www.hmetro.com.my/

1 comment:

Anonymous said...

salams..

Betul cakap ustaz..Orang yang suka 'berhutang'memang 'kurang tenteram' kehidupannyer walaupun pada dzahirnya tampak 'reax' jer..

Nak tambah sikit...hutang ni tak semestinyer dalam bentuk RM, ia juga merangkumi 'janji' dalam bentuk lisan...seperti kata-kata yang boleh membuat orang menaruh harapan terhadap apa yang kita perkatakan untuk memenuhi impiannya...

Hutang lisan ni kadang-kadang membuat manusia(penjanji) mudah lupa kerana ia diluahkan dengan kata-kata tanpa bukti hitam putih..Dan amatlah merbahaya sekali sekiranya hutang lisan tidak ditunaikan..kerana Allah Maha Mendengar apa-apa jua yang kita janjikan...Manusia(penjanji) mudah lupa TAPI...orang yg menagih janji tak mudah lupa...

So,disamping rajin membayar hutang RM elok jugalah kita senantiasa check diri kita balik samada 'terlupa' or tidak nak tunaikan 'HUTANG LISAN' or not...sebelum ajal tiba..coz hutang RM boleh dicover dengan jumlah harta sepeninggalan kita bila kita dah berada di alam barzakh..manakala hutang secara lisan hanya Allah dan kita dan orang yang kita hutang jer yang tahu..

Memang 'mengerikan' kan? kalau kita tak tunai janji pada orang dan di dalam alam kubur kita dituntut membayar hutang tu...

Samasama lah kita renungkan...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin