Wednesday, May 14, 2008

Berita Baik Sempena Hari Guru

Ujian simulasi pengesahan jawatan guru besar akan dimansuh

13-05-2008 07:54:51 PM
oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

KUALA LUMPUR: Ujian simulasi dalam proses pengesahan jawatan guru besar akan dimansuh kerana didapati menjadi faktor kelewatan pengisian jawatan itu.

Langkah itu merupakan satu daripada tiga langkah yang diumumkan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini dalam usaha menangani secara dalaman di peringkat Kementerian Pelajaran (KPM) isu-isu yang dibangkitkan Kesatuan dan Persatuan Guru sebelum ini.

Beliau berkata, mekanisme asal dalam pengesahan jawatan guru besar didapati sudah memadai dalam menilai ccalon-calon dan hanya perlu ditambah baik tanpa memerlukan satu ujian simulasi secara berasingan.

“Jika sebelum ini, ujian simulasi memerlukan calon guru besar dinilai daripada segi kemahiran komunikasi dan personaliti bagi memastikan mereka boleh berhadapan dengan segala hal dan masalah.

“Bagaimanapun, ia didapati melambatkan proses perlantikan memandangkan agak sukar untuk menghimpunkan mereka disebabkan faktor masa dan lokasi yang jauh walaupun sebenarnya mereka layak setelah dicadangkan oleh Pengarah Pelajaran negeri masing-masing.

“Justeru, langkah ini akan mempercepatkan lantikan kerana jawatan guru besar perlu diisi secepat mungkin kerana setiap tahun kira-kira 500 hingga 600 guru besar sedia ada akan bersara,” katanya selepas perjumpaan dengan wakil-wakil 24 kesatuan dan persatuan guru seluruh Malaysia, di sini.

Hishammuddin berkata, selain itu, langkah kedua yang diambil KPM adalah menyegerakan jawatan kenaikan pangkat untuk pensyarah-pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Kolej Matrikulasi KPM.

"Kelulusan penambahbaikan perjawatan pensyarah ini telah diperolehi pada bulan Januari 2008 yang antara lain menetapkan gred pensyarah di institusi-institusi berkenaan bermula dengan DG44 berbanding DG41 sebelum ini.

“Pengisian jawatan ini akan melibatkan kenaikan gred daripada DG44 hingga DG54 yang akan memberi manfaat kepada lebih 5,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan kita akan menetapkan sasaran untuk menyelesaikan kesemuanya pada Jun tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, seramai 11,678 guru akan mendapat manfaat selepas KPM turut mengambil keputusan untuk menambahbaik mekanisme penilaian bagi mempercepat pengisian kuota-kuota jawatan dalam skim cemerlang yang melibatkan jawatan Pengetua Cemerlang DG52 hingga JUSA C, Guru Besar Cemerlang DGA38 dan Guru Cemerlang DGA32 hingga Gred Khas C.

“Sebelum ini, skim ini dilulus untuk dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2010 termasuklah jawatan tambahan yang diluluskan awal tahun ini.

“Antara pendekatan yang dilaksanakan adalah menubuhkan sebuah badan task force untuk turun ke semua peringkat bagi mengenal pasti dan menilai para guru yang menunjukkan prestasi cemerlang.

“Hal ini membantu kerana sebelum ini, para guru yang berminat perlu membuat permohonan sendiri dan melalui pelbagai karenah birokrasi yang didapati menjadi antara punca utama guru kurang berminat mengisi jawatan berkenaan.

“Setakat ini, pengisian kuota secara rasmi adalah seramai 4,539 guru dan sasaran kita adalah pengisian pada tahap 85 peratus menjelang Disember ini,” katanya.

Sementara itu, beliau juga telah merujuk beberapa isu yang dibangkitkan kesatuan dan persatuan guru kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

“Alhamdulillah, KSN dan KPPA telah menyusul segera dengan semua kesatuan melalui proses musyawarah dalam semangat permuafakatan.

“Dengan keprihatinan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan kerajaan kepada para guru selama ini, saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan berita baik untuk para guru ketika menyempurnakan Majlis Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Ayer Keroh Melaka, 16 Mei ini,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, beliau turut menyerahkan Naskhah Buku Laporan Kajian Tugas dan Tanggungjawab Guru kepada wakil Kesatuan dan Persatuan Guru untuk diteliti secara terperinci.

Beliau berkata, hal ini adalah bagi menentukan keutamaan strategi dan pendekatan yang perlu dilaksanakan dalam usaha meringankan beban guru secara berperingkat-peringkat.
dipetik dari www.mstar.com.my

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin