Tuesday, May 27, 2008

Selangor haram program berkonsep Islam Hadhari

26-05-2008 09:49:28 PM

Petikan berita dari www.mstar.com.my

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor, di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, mengharamkan sebarang pelaksanaan program berkonsepkan Islam Hadhari di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata, konsep Islam Hadhari tidak diperlukan di Selangor memandangkan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini lengkap dan menyeluruh dari segala aspek kehidupan.

Justeru dengan arahan itu, katanya, semua masjid dan surau di negeri itu tidak dibenarkan menyentuh soal Islam Hadhari dalam khutbah sembahyang Jumaat.

"Kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor dan bukannya Islam Hadhari," katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Konsep Islam Hadhari diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2005 iaitu satu pendekatan untuk memajukan ummah, negara dan bangsa.

Hassan, yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, juga menafikan pemimpin Pas di negeri itu pernah berjanji untuk menutup semua pusat hiburan dan kilang arak sekiranya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri. BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin