Thursday, July 3, 2008

Hadis berkaitan ADIL dan TIDAK ZALIM

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Nabi s.a.w telah bersabda: Pada setiap hari terdapat sedekah di setiap sendi manusia ketika matahari terbit. Seterusnya baginda bersabda: Berlaku adil di antara dua orang manusia adalah sedekah, membantu seseorang naik ke atas binatang tunggangannya atau mengangkatkan barang-barangnya ke atas belakang binatang tunggangannya juga adalah sedekah. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah menuju sembahyang adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalan adalah sedekah.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1677,Bab Menerangkan Bahawa Sedekah Mampu Diterapkan Dalam Setiap Amalan Kebaikan)

Hadis Abu Hurairah r.a:
Nabi s.a.w telah bersabda: Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya. Hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Golongan tersebut ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidupnya, seseorang yang hatinya sentiasa berpaut pada masjid-masjid iaitu sangat mencintainya dan selalu mendirikan sembahyang berjemaah, dua orang yang saling mengasihi kerana Allah iaitu keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupa paras yang elok untuk melakukan kejahatan tetapi dia berkata: Aku takut kepada Allah!, seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kanan tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kirinya dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalirkan air mata dari kedua matanya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1712,Bab Kelebihan Merahsiakan Sedekah)

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Pada hari berlakunya peperangan Hunain, Rasulullah s.a.w telah mengutamakan beberapa orang sahabat semasa pembahagian. Baginda memberikan seratus ekor unta kepada Al-Aqra' bin Haabis. Begitu juga kepada Uyainah dan beberapa orang bangsawan Arab. Rasulullah s.a.w mengutamakan mereka dalam pembahagian. Lalu seorang lelaki berkata: Demi Allah! Sesungguhnya ini adalah pembahagian yang sama sekali tidak adil dan tidak dimaksudkan untuk mencari keredaan Allah. Aku berkata: Demi Allah! Aku akan menyampaikannya kepada Rasulullah s.a.w. Aku pun datang memberitahu Rasulullah s.a.w mengenai kata-kata lelaki tersebut. Setelah mendengarnya wajah baginda berubah dan kemudiannya baginda bersabda: Siapa lagi yang mampu berbuat adil, jika Allah dan Rasul-Nya tidak berlaku adil? Kemudian baginda bersabda lagi: Semoga Allah memberikan rahmat kepada Nabi Musa. Dia telah disakiti oleh kaumnya lebih banyak dari ini tetapi dia tetap bersabar. Aku berkata: Aku tidak akan menyampaikan apa-apa pun percakapan kepada baginda lagi selepas peristiwa tersebut.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1759,Bab Memberikan Kepada Orang Yang Ingin Dijinakkan Hatinya Kepada Islam Dan Menyabarkan Orang Yang Teguh Imannya)



No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin