Tuesday, July 15, 2008

Seni Bunyi Islam


SENIMAN Islam sejati menghasilkan karya melalui seni bunyi yang tenang.


TIDAK ramai yang menyedari seni bunyi atau handasah al-Sawt dalam tradisi peradaban Islam mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan umat Islam.

Seni bunyi seperti mana seni tampak, seni arca dan seni-seni yang lain mempunyai prinsip-prinsip tertentu yang dapat mengawal para pelakunya atau pun para seniman supaya tetap tunduk dan patuh kepada konsep pandangan hidup tauhid.

Menurut Fatimah Ali dalam tulisannya, Seni bunyi menurut perspektif Islam, elemen tauhid bukan saja penting bagi penggunaan genre agama dalam handasah al-sawt tetapi juga ia telah menyemai pemikiran dan penglibatan orang Islam terhadap bentuk-bentuk seni bunyi yang lain.

Seni bunyi Islam yang dihasilkan jelas merealisasikan sifat-sifat keesaan, keagungan, yang tidak ada akhir dan yang tidak ada permulaan.

Dengan kata lain, menerusi konsep tauhid, para seniman bukan disuruh meniru atau menguasai alam ciptaan tuhan, sebaliknya, menerusi ciptaan itu, ia dengan penuh kesedaran dapat merealisasi kedudukan dirinya dalam hubungan dengan penciptanya.

Kepada muslim, menghayati keindahan ciptaan Allah, sama ada menerusi visual mahupun audio, sesungguhnya membawa berzikir kepada Allah dengan segala kesempurnaannya.

Tegasnya seni bunyi Islam harus dapat mencernakan konsep tauhid dan dapat, difahami dalam konteks itu. Ciri-ciri seni bunyi Islam dalam apa bentuk persembahannya jelas membezakannya daripada ciri-ciri muzik sekular yang sudah pasti penghasilan karya seninya tidak jelas daripada segi matlamat, nilai dan etika.


BUKU Atlas Budaya Islam tulisan Profesor Ismail Al-Faruqi.


Lebih-lebih lagi ia menjurus kepada budaya hedonis yang mementingkan keseronokan palsu. Ciri-ciri seni bunyi Islam dapat diperincikan seperti berikut, pertamanya ialah abstrak.

Menurut Almarhum Profesor Ismail Al-Faruqi dalam bukunya Atlas budaya Islam (terjemahan bahasa Melayu), salah satu ciri al-Quran yang menentukan pernyataan seni dalam budaya Islam ialah nilai abstrak atau nilai bukan programatik yang ada padanya.

Ini bagi membezakannya daripada isi ciptaan Allah. Jadi, seni bunyi dari tamadun Islam tidak mempunyai kesan dramatik, tidak ada kesan tekanan.

Lantaran itu, seniman Muslim sejati, seperti hasil karyanya sentiasa bersifat tenang. Sifat yang sama juga akan diterapkan kepada para peminatnya. Kualiti abstrak ini begitu dipentingkan untuk menghilangkan hubungan intim antara seni bunyi dan mood atau emosi yang bersifat naturalistik.

Kedua pula ialah penggayaan. Menurut Fatimah Ali, penggayaan atau stylization adalah mekanisme untuk mentrasformasi objek yang natural kepada tidak natural dengan tujuan utamanya adalah untuk mengelakkan daripada timbulnya hasil yang bersifat naturalistik yang amat bercanggah dengan konsep tauhid.

Maka itu, objek-objek yang digunakan sebagai kandungannya itu digaya-gayakan supaya hilang 'kenaturalannya' dan yang timbul ialah sifat kesejagatannya.

Ketiga pula ialah melewati batas masa dan geografi. Mesej seni bunyi Islam bukan mesej yang amat peribadi dan lokal sifatnya, tetapi mesej insan sejagat atau universal, yang tidak mengenal batas ruang dan waktu seperti Islam itu sendiri.

Keempat pula ialah dafqah. Dafkah ialah corak atau bentuk yang intriket sifatnya, yang tidak memerlukan awalan dan akhiran, yang wujud dalam seni bunyi.

Seni bunyi ini tidak bergantung kepada satu puncak atau klimaks, sebaliknya mempunyai banyak mini puncak dan peleraian yang berlanjutan. Dalam sebuah lagu terdapat beberapa jenis modul dan unit yang bebas antara satu dengan lain.

Kelima ialah perulangan. Menurut Ismail Al-Faruqi pula, perulangan atau takarur dan simetri atau tawazun adalah dua wajah yang dapat dilihat dalam seni visual dan dapat dinikmati dalam seni bunyi.

Dua wajah ini begitu ditekankan demi membangkitkan sifat non-developmental atau sifat tidak berkembang daripada bentuk infinit yang nantinya akan membawa kepada realisasi konsep tauhid.

Dengan kata lain, perulangan ini memungkinkan lahirnya banyak mini puncak dan peleraian sepanjang masa. Ini bermakna tidak ada satu sahaja pendakian puncak yang akan membawa kepada satu tension atau antiklimaks atau tragedi sebagai penutupnya. Ini ialah kerana fitrah konsep hidup Islam sendiri tidak mengenal tragedi.

Kesatuan seni Islam pada umumnya dan genre handasah al-sawt khususnya adalah berbeza. Ia tidak boleh diterangkan dengan mengambil contoh satu tema tunggal; dengan menghuraikan ciri-ciri seseorang, sesuatu objek atau suatu suasana; atau dengan menyanyikan satu tema yang terkenal. Sebaliknya, seseorang itu mestilah mengalami karya seni itu sebagai struktur yang terbuka dan dapat dikembangkan.


Tulisan SHAHAROM TM SULAIMAN (Kosmo)

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin