Tuesday, November 24, 2009

Lawatan Ke Pantai Timur




Alhamdulillah pada 13-15 Nov. yang lalu, Penyelaras Lawatan SKSV telah berjaya mengadakan satu lagi Lawatan Sambil Belajar. Seramai 32 orang peserta, yang majoritinya terdiri daripada murid Tahun 6 manakala selebihnya Tahun 3, 4 dan 5.


Bas bertolak dari sekolah yang tercinta pada jam 12.15PM Jumaat dengan diiringi oleh sebuah van kepunyaan Cikgu Noredah.

Kami melalui jalan Grik - Jeli - Rantau Panjang - Kubang Kerian - Tawang untuk sampai ke destinasi penginapan kami yang pertama. Perjalanan yang mengambil masa hampir 10 jam sangat menyeronokkan (dan juga memenatkan). Bas singgah beberapa kali untuk tujuan wajib. Antara: makan tengahari di RnR Tasik Raban, mengisi minyak di Pekan Grik, berehat sebentar di Puncak Banjaran, Kedai Barangan Bukit Bunga dan sampai di Kg. Pauh Sembilan, Bachok pada jam 10.00 mlm.

Setibanya di rumah penginapan (milik seorang guru SKSV) kami dijamu dengan nasi dan lauk-lauk yang sangat enak. Mungkin agak lewat untuk kami menikmati makan malam namun semua peserta rombongan menjamu selera dengan penuh semangat.

Selesai khidmat diri dan Solat Jamak Takhir, semua peserta berehat dan tidur awal setelah mengharungi perjalanan yang panjang siang tadi.

Sabtu 14 Nov. 2009

Seawal jam 7.30AM semua peserta menikmati sarapan di rumah penginapan. Jutaan terima kasih kepada Usth Mina kerana menyediakan tempat penginapan untuk kami. Kira-kira jam 8.00AM kami memulakan perjalanan hari kedua. Destinasi kami seterusnya ialah Cik Minah Songket dan Batik. Lawatan sambil belajar cara-cara menenun songket. Selepas itu, bas singgah di gerai menjual pakaian sekitar Pantai Cahaya Bulan. Ramai peserta tidak melepaskan peluang membeli pakaian yang bermotifkan Kelantan, batik dan sebagainya dengan harga yang berpatutan. Kami sempat bergambar di tepian Pantai Cahaya Bulan sebagai kenangan.

Bas kami berhenti di hadapan Muzium berhampiran Pasar Buluh Kubu bagi memberi peluang kepada para guru meninjau barangan keperluan di pasar Siti Khadijah. Kami berada di situ sehingga melewati jam 12.00PM sambil menunggu makanan tengahari yang dibungkus oleh pihak penaja. (dalam bas itu juga telah dibekalkan makanan jam 10.00AM)

Destinasi kami seterusnya ialah Kuala Terengganu. Perjalanan mengambil masa kira-kira 3-4 jam. Kami singgah Solat Jamak Taqdim dan makan tengahari di Masjid Permaisuri, Setiu, Terengganu. Bas meneruskan perjalanan menuju ke Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu dan tiba kira-kira jam 4.45PM. Kami memasuki taman berkenaan pada jam 5.00PM dan keluar sejam setengah kemudian. Kelihatan para peserta sungguh berminat dengan 21 monumen yang dibina dalam taman tersebut. Nyata 90 minit yang dperuntukkan tidak mencukupi buat mereka.

Kami mengambil peluang untuk menunaikan Solat fardhu Maghrib di Masjid Kristal yang terletak di kawasan berhampiran. Kemudian, kami (para peserta) menunaikan Fardhu Isya' (Qasar) di bahagian belakang dewan Masjid Kristal bersama sekumpulan pelancong lain.

Kenderaan kami keluar dari kawasan Taman Tamadun Islam untuk ke chalet penginapan di pantai Batu Buruk. Di sana kami menyewa dua buah rumah (untuk lelaki dan perempuan). Makan malam itu juga kami tempah dari pengusaha chalet berkenaan.

Chalet lelaki mempunyai 4 bilik, yang mana dua buah bilik yang besar diperuntukkan kepada murid lelaki dan dua buah bilik yang bersaiz kecil untuk guru pengiring serta pemandu bas.

Jam 9.30PM selepas menikmati makan malam, para peserta dibawa bersiar-siar (berjalan kaki) ke Pantai Batu Buruk, Taman Awam dan Medan Selera Batu Buruk. Selepas itu semua peserta kembali ke penginapan dan tidur dengan selesa.

Ahad 15 Nov. 2009

Pagi ini kami menikmati sarapan di Pasar Payang Kuala Terengganu. Menu biasa ialah Nasi Lemak dan teh tarik. Selepas itu kami menjelajah bahagian bawah pasar, yang mana ada menjual keropok dan produk berkaitan.

Selepas itu, kami melawat @ memanjat Bukit Puteri. Ianya adalah salah satu tempat bersejarah di bawah seliaan Jabatan Muzium Terengganu. Selepas itu kami singgah bergambar di Waterfront @ Depan Air. Apa yang menarik di situ? TANDAS EKSLUSIF.

Kami menyambung lawatan pada hari terakhir ke Muzium Terengganu dan Gerai Keropok Losong Kak Yah. Solat Zohor dan Asar kami taqdimkan di Masjid Terapung Tunku Zaharah. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Marang untuk membeli keropok di Kedai 008 yang dikatakan terkenal.

Jam 5.00 PM kami singgah untuk makan di Gerai makan bersebelahan Stesen Bas Chukai, Terengganu. Kelam kabut tuan kedai menyediakan makanan untuk satu bas. Jumlah yang beliau perolehi hampir RM200.00. Di kawasan Cherating, kami singgah lagi. Penyelaras rombongan ingin membeli baju cenderahati untuk semua peserta rombongan. Sudah menjadi tradisi beliau, setiap kali rombongan jarak jauh beliau akan membelikan baju tanda kenangan.

Bas kami meneruskan perjalanan pulang memasuki Lebuhraya Pantai Timur. Kira-kira jam 8.45PM kami singgah di RnR Temerloh untuk bertukar pakaian dan solat jamak. Itulah persinggahan kami yang terakhir.

Kurang 10 minit ke 12.OOAM kami sampai di Tol Tg. Malim dan seorang guru turun di situ. Bas tiba di SKSV melewati 12.30AM dan semua peserta sampai ke rumah dengan selamatnya.

*****

Jutaan syukur kepada Allah kerana sepanjang perjalanan di Pantai Timur, kami tidak terganggu dengan ancaman hujan atau banjir. Bas kami juga tidak menghadapi sebarang masalah besar. Semoga lawatan ini memberi 1001 pengajaran bermakna untuk semua peserta.





No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin