Sunday, May 18, 2008

Penekanan Kuasai Tulisan Jawi

MB Selangor mahu sekolah agama beri penekanan kuasai tulisan jawi

17-05-2008 05:15:03 PM

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu semua sekolah agama di negeri ini memberikan penekanan terhadap penguasaan tulisan jawi oleh kalangan pelajarnya.

Beliau berkata tulisan jawi perlu dikuasai memandangkan ia merupakan satu aspek kebudayaan dan memperlihatkan cara pemikiran masyarakat Melayu yang diwarisi dari generasi terdahulu.

"Kita mahu tulisan Jawi dikuasai oleh orang Melayu kerana ia identiti dan membantu dalam beberapa aspek kehidupan termasuk membantu kita memahami dan membaca al-Quran dengan lebih baik..." katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) 2008 di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata apabila seseorang itu mengenali dan tahu tulisan Jawi mereka juga mampu memahami Bahasa Arab yang asasnya ialah tulisan Jawi.

Beliau berkata penekanan tulisan Jawi di sekolah agama boleh dilakukan dengan menambah satu kelas khas subjek itu.

Selain itu, katanya penguasaan tulisan Jawi juga boleh membantu kembali survival akhbar bertulisan jawi.

Abdul Khalid berkata dengan jumlah kira-kira 60 peratus orang Melayu di Malaysia sepatutnya akhbar tulisan Jawi (yang wujud dulu) mampu bertahan jika mereka menguasai dan mahir menulis serta membaca tulisan Jawi.

"Masyarakat India misalnya, hanya kira-kira 10 peratus sahaja di Malaysia tetapi akhbar menggunakan tulisan Tamil ada tiga kalau tidak silap saya dan semuanya sukses," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Abdul Khalid berkata guru agama perlu mempertingkatkan penguasaan mereka dalam bidang ICT bagi menyampaikan teknik pengajaran yang lebih berkesan dan bersesuaian dengan keadaan semasa.

Abdul Khalid turut menyampaikan hadiah kepada dua tokoh guru sekolah agama JAIS iaitu Ismail Ibrahim dari Sabak Bernam bagi kategori lelaki dan Jama'aiah Boyok dari Sepang (wanita).

Kedua-dua tokoh guru itu dipilih kerana dedikasi mereka dalam bidang pendidikan sejak 30 tahun lepas dan masih aktif sehingga kini walaupun telah bersara. BERNAMA

-bagaimana pula peran semua GPI dan jQAF di SK??? Tunjukkan pada semua, kita juga mampu menyumbang ke arah halatuju yang sama...

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin