Monday, May 19, 2008

Santau SMS & HP

Usah Percaya - Panggilan Santau

Posted on May 16, 2008 under Isu Semasa

SEREMBAN: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menasihatkan masyarakat tidak mempercayai apa yang tercatat pada SMS amaran berhubung panggilan santau atau ‘tarik nyawa’ yang tersebar luas di negara ini sekarang.

Beliau berkata, walaupun perbuatan sihir boleh dilakukan dengan pelbagai cara, panggilan maut seperti didakwa itu agak sukar diterima akal.

Katanya, kepercayaan yang terlalu mendalam terhadap sihir menyebabkan ada anggota masyarakat terutama beragama Islam berada dalam ketakutan kerana bimbang terkena ilmu hitam itu.

“Ketakutan itu menyebabkan berlakunya tokok tambah sehingga mengganggu emosi dan pekerjaan harian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, Dr Mohd Asri berkata, penyebaran SMS itu perlu dihentikan segera kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan usaha umat Islam mencapai kemajuan setanding masyarakat dunia lain.

Beliau mengulas pengiriman SMS peringatan yang dikatakan disebarkan pihak tertentu untuk mengingatkan orang ramai mengenai deringan santau atau panggilan syaitan yang kononnya akan mencabut nyawa penerima panggilan berkenaan.

Selain di negeri ini, SMS berkenaan dikatakan sedang berlegar di seluruh negara, terutama di Kuala Lumpur dan Melaka sehingga menyebabkan orang ramai mula risau dan tertanya-tanya sama ada aktiviti santau menggunakan kaedah baru itu benar-benar wujud.

Menerusi SMS berantai itu, orang ramai diingatkan tidak mengangkat telefon jika dihubungi satu nombor pelik yang kononnya boleh meragut nyawa mereka yang menjawab panggilan itu.

SMS yang tersebar luas sejak seminggu lalu mendakwa panggilan misteri itu mengandungi unsur sihir yang dikatakan sedang diuji sekumpulan penuntut ilmu hitam di Indonesia.

sumber: www.drmaza.com

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin