Sunday, July 27, 2008

Slim River dilanda 'demam misteri'

----> Berita ini dipetik dari akhbar Berita Harian Online




MURAM: Jalan masuk ke Kampung Rasau lengang berikutan
demam sendi melanda kampung berkenaan.


Doktor gagal kenal pasti penyakit sebenar

SLIM RIVER: Penduduk sekitar daerah Slim River kini hidup dalam kebimbangan berikutan menularnya penyakit berjangkit yang digelar 'demam sendi' di kalangan penduduk tempatan sejak beberapa bulan lalu.

Setakat ini, lebih 50 kes dilaporkan dengan kesan awal penghidap ialah berasa lemah seluruh anggota badan, suhu badan meningkat mendadak, hilang selera makan, timbul ruam merah di badan diikuti sakit teruk di bahagian sendi serta sukar bergerak.

Kawasan paling teruk terjejas ialah Kampung Rasau apabila 25 kes dilaporkan dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan berusia 20 tahun ke atas.

Tinjauan Berita Minggu ke kampung berkenaan semalam mendapati terdapat 10 mangsa yang masih mengalami demam itu berada pada tahap kritikal termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.

Menghairankan, doktor termasuk di Klinik Kesihatan Daerah Slim River yang merawat semua mangsa demam berkenaan gagal mengenal pasti penyakit sebenar dihidapi mereka biarpun selepas melakukan ujian darah.

TAK BERDAYA: Mohd Junit (kiri) dan Ariffin Ahad memapah mangsa demam sendi, Mohamad Nor Bidin, 11.

Seorang doktor klinik swasta di pekan Slim River yang enggan namanya disiarkan berkata, kesan penyakit itu menyerupai demam campak dan denggi.

"Hampir setiap hari ada penduduk daerah ini terutamanya dari Kampung Rasau datang ke klinik saya. Kebanyakan yang datang berada pada tahap kritikal dan terpaksa dipapah. Selepas memberikan suntikan ubat penahan sakit, saya menasihatkan mereka pergi ke hospital.

"Saya juga sudah melakukan ujian darah tetapi gagal mengenal pasti penyakit sebenar dihadapi. Simptom penyakit demam sendi ini hampir sama dengan demam campak dan denggi. Ia berlarutan antara empat hari hingga dua minggu.

"Saya kategorikan penyakit ini agak serius kerana seseorang yang mengalaminya tidak dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa. Penyakit ini menyebabkan sendi penghidapnya sakit teruk dan jika ia menyerang bahagian sendi lutut atau pergelangan kaki, seseorang itu tidak dapat bergerak dan terpaksa mengesot," katanya.

Beliau berkata, demam itu dipercayai merebak melalui nyamuk dan beliau sudah memaklumkan kepada pegawai kesihatan daerah supaya membuat pemantauan kerana bimbang jika dibiarkan berlarutan, penyakit itu boleh bertambah serius.

Sementara itu, Ketua Kampung Rasau, Mohd Junit Zakaria, 64, berkata pada peringkat awal penduduk beranggapan ia hanya demam biasa tetapi apabila semakin ramai diserang penyakit itu, penduduk mula cemas.

Katanya, setakat ini sudah 25 penduduk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Slim River, Hospital Slim River dan klinik swasta namun sehingga kini punca sebenarnya belum lagi diketahui.

"Penduduk memaklumkan bahawa apabila mereka diserang demam ini badan mereka mulai rasa panas dan kurang selesa dan muntah-muntah serta hilang selera makan.

"Selepas itu mereka akan berasa sakit pada bahagian sendi seluruh badan sehingga ada yang tidak mampu berjalan dan terpaksa merangkak serta dipapah untuk ke bilik air.

"Kemudian timbul bintik kecil seperti ruam berwarna merah di bahagian badan seperti demam denggi dan apabila bintik itu hilang maka demam mulai reda. Namun, apa yang membimbangkan, ada kes penyakit itu berulang menyerang mangsa sama," katanya.

Mohd Junit berkata, beliau bimbang dengan wabak misteri ini dan hairan sehingga kini pihak berkuasa tempatan (PBT) belum mengambil apa juga tindakan untuk langkah pencegahan menyebabkan penduduk mulai rasa takut.

"Saya berpendapat penyakit ini sudah menjadi wabak kerana ia merebak dengan cepat," katanya.

INFO: Simptom demam sendi

  • Lemah badan
  • Badan menggigil kesejukan
  • Suhu badan meningkat
  • Hilang selera makan
  • Sakit teruk di bahagian sendi
  • Sukar bergerak
* Mohd Noor: Murid Tahun 5 Bestari ?

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin