Friday, August 29, 2008

Bajet 2009 (berkaitan Pendidikan)

Teks ucapan Bajet 2009
UCAPAN BAJET 2009 OLEH YAB DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN DI DEWAN RAKYAT PADA 29 OGOS (JUMAAT) 2008

"KERAJAAN PRIHATIN"

~~~~~~~~~~~~~~~~~

Meningkatkan Kualiti Pendidikan


Tuan Yang Dipertua,

Kementerian Pelajaran diperuntukkan RM31 bilion untuk menyediakan pendidikan bagi manfaat 5.8 juta pelajar. Sejumlah RM1.6 bilion disediakan bagi membiayai perluasan program sedia ada, iaitu pertambahan perjawatan berikutan pembukaan 26 sekolah rendah dan 41 sekolah menengah yang baru dan pertambahan perbelanjaan untuk penyelenggaraan, bantuan makanan, biasiswa, geran perkapita dan peralatan baru.

Sejumlah 110 sekolah rendah dan 181 sekolah menengah baru akan dibina bagi mengatasi masalah kekurangan sekolah dan menggantikan sekolah-sekolah yang telah usang. Di samping itu, RM615 juta disediakan untuk penyelenggaraan sekolah dan asrama bagi memastikan semua sekolah berada dalam keadaan bersih dan selamat. Peruntukan penyelenggaraan ini tidak boleh dipindahkan bagi tujuan lain.

Bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, peruntukan RM14.1 bilion disediakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Daripada jumlah ini, RM8 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus institusi pengajian tinggi awam, RM627 juta kepada politeknik dan kolej komuniti serta RM37 juta kepada Agensi Kelayakan Malaysia. Sebanyak RM4.4 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk pembinaan kemudahan klinikal dan bangunan fakulti perubatan serta menyediakan latihan penyelidikan.

~~~~~~~~~~~~~~~

Membantu Golongan Kurang Bernasib Baik

Tuan Yang Dipertua,

Pada masa ini, bagi menggalakkan Orang Kurang Upaya (OKU) bekerja, kerajaan menyediakan elaun bulanan RM300 kepada mereka. Menyedari ada di antara OKU yang tidak berupaya bekerja, kerajaan akan memberi elaun RM150 sebulan kepada mereka. Di samping itu, elaun murid OKU di sekolah pendidikan khas akan ditambah daripada RM50 kepada RM150, sementara bayaran insentif RM200 sebulan disediakan untuk pembantu guru di sekolah berkenaan.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Memperluaskan Program Pintar

Tuan Yang Dipertua, Kerajaan mengalu-alukan sumbangan sektor swasta untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan. Dalam hubungan ini, program pintar yang membabitkan pengambilan sekolah angkat oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah dilancarkan pada 2006. Program ini adalah salah satu daripada inisiatif di bawah program transformasi GLC yang telah berjaya membabitkan 23 syarikat GLC dan anak syarikatnya serta memberi manfaat kepada 152 sekolah di seluruh negara. Antara pencapaian pintar termasuklah peningkatan dalam kadar kelulusan purata murid sekolah serta penambahan bilangan pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Program pintar akan diperluaskan kepada penyertaan syarikat swasta bukan GLC dengan sasaran 480 sekolah di seluruh negara menjelang 2012. Keutamaan akan diberi kepada sekolah di Sabah dan Sarawak. Untuk melaksanakan program pintar secara bersepadu dan lebih meluas, kerajaan akan menubuhkan yayasan pintar dengan peruntukan RM20 juta sebagai geran pelancaran.


~~~~~~~~~~~

Untuk teks penuh.. sila klik SINI

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin