Tuesday, October 14, 2008
Kejayaan SKSV di Majlis Tilawah Pend. Khas
SK Tanjung Malim, 9 Okt. 2008 (Khamis) : Telah berlangsung Majlis Tilawah Pendidikan Khas Peringkat Daerah Batang Padang 2008.
SKSV telah menghantar 2 peserta untuk menyertai acara-acara yang dipertandingkan. TAHNIAH kepada adik Husin B. Abu Bakar kerana telah berjaya menjadi JOHAN dalam Pertandingan Azan dan juga mendapat Tempat KEDUA dalam Pertandingan Nasyid.
Beliau telah menunjukkan prestasi yang menggalakkan serta mendapat perhatian para hakim kerana kemampuannya, serta suaranya yang merdu. Semasa di SKSV, beliau memang terkenal dengan nyanyian lagu-lagu nasyid Kumpulan Raihan, Rabbani dsb.
Oleh sebab itu, beliau akan mewakili DAERAH BATANG PADANG ke Majlis Tilawah Pendidikan Khas Peringkat Negeri yang akan diadakan tidak lama lagi. (Menurut sumber, ianya akan diadakan di Kompleks Belia, Kemunting - Daerah Larut Matang Selama selaku tuan rumah tahun ini)
Acara yang akan disertai oleh adik Husin B. Abu Bakar di peringkat Negeri nanti:
1. Azan
2. Nasyid
(atas kebolehannya itu... beliau diserapkan bersama sebagai anggota kumpulan nasyid Daerah ke peringkat negeri nanti)
********
GPI SKSV mengucapkan Selamat Berjaya kepada beliau... dan kepada guru-guru yang bertungkus-lumus melatih murid-murid Pend. Khas (Pn. Adila, En. M. Farhan, Cik Gomathy Cik Sofeana...) tahniah dan syabas diucapkan. Anda semua memang hebat!!!
Saturday, July 12, 2008
Qari, qariah Perak johan tilawah - B. Harian
Guru, naib johan AQ3 tewaskan 25 peserta
JITRA: Perak mengungguli pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan tahun ini apabila qari dan qariahnya menjuarai pertandingan yang berlangsung di Dewan Wawasan, di sini.
Shamsul Ariffin Supian, guru sekolah agama di Perak dan Sharifah Khasif Fadzilah Badiuzzaman, pegawai perhubungan awam di Kuala Lumpur menewaskan 25 peserta lain dengan masing-masing mendapat markah 81 peratus dan 79 peratus.
Kedua-duanya peserta Perak berkenaan memenangi tempat ketiga dalam Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-48 di Terengganu, pada 2005.
Sharifah Khasif juga adalah pemenang kedua program realiti televisyen bercorak Islam, Akademi al-Quran musim ketiga (AQ3), tahun ini.
Kemenangan itu membolehkan Shamsul Ariffin dan Sharifah Khasif, masing-masing menerima wang tunai RM10,000, piala pusingan, piala iringan, pakej haji, cenderahati dan sijil penyertaan, yang disampaikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Dengan kemenangan itu, Perak juga dinobatkan sebagai johan keseluruhan tilawah tahun ini.
Naib johan qari pula dimenangi guru pelatih dari Melaka, Azraie Abd Hak dengan markah 79.33 peratus manakala tempat ketiga disandang qari Sabah, Abdullah Abd Wahid yang memperoleh markah 79 peratus.
Farah Ilyani Zakaria dari Sarawak muncul naib johan qariah, mengumpul 78.67 peratus manakala qariah Pahang, Shabiroh Zain, menduduki tempat ketiga dengan markah 78 peratus.
Naib johan dalam kedua-dua kategori itu meraih wang tunai RM7,000, cenderahati dan sijil manakala pemenang tempat ketiga memperoleh RM5,000, cenderahati dan sijil.
Terdahulu, Sultan Kedah Sultan Abdul Halim ketika menutup majlis tilawah itu bertitah, umat Islam hendaklah sentiasa berinteraksi dengan al-Quran kerana ia adalah kunci ilmu kemajuan manusia.
* Komen Peribadi Penulis: Johan Qari Tilawah kali ini bukanlah seorang yang asing bagi penulis. Walaupun jarang bertemu secara langsung dengannya, namun hubungan silaturrahim antara keluarga penulis dengan keluarga beliau sangat akrab. Sehinggakan semasa majlis tahlil untuk arwah ayahanda penulis diadakan pada April 2006, Us. Syamsul yang mengetuai bacaan tersebut bersama rombongan murid2 nya dari SMKA Kerian. Sekalung tahniah diucapkan. Semoga kejayaan ini mendorong lebih ramai lagi GPI di negeri Perak untuk belajar Ilmu Tarannum dan Qiraat dari Us. Syamsul. Khususnya kepada wakil Qari Daerah Btg Padang yg juga seorang Guru SKSV.