Tuesday, January 25, 2011
Yang pergi pasti berganti..
Friday, January 7, 2011
Blogger telah bertukar...

Entry terakhir...
dari saya... selaku blogger SKSV yang telah bertukar ke SK Lambor Kanan mulai 5 Januari 2011.
Saya mengharapkan ada warga SKSV yang berminat untuk meneruskan / mengaktifkan blog yang telah dibangunkan sejak April 2008 ini.
Sedikit lipatan sejarah, bertukar ke SK Slim Village pada 17 Februari 2007. Sebelum itu pernah bertugas selama 2 tahun 2 bulan (penempatan pertama ) di SK Selat Pulau Kg Gajah yang terletak kira-kira 15 KM dari sekolah terkini.
Dikesempatan ini saya ingin memohon maaf kepada semua pembaca andai ada diantara entri sebelum ini yang menyentuh perasaan atau mengguris hati anda secara sedar atau tidak sengaja.
Sesungguhnya medium blog ini adalah sangat bermanfaat untuk kita (terutama warga pendidik) dalam menyampaikan maklumat semasa / menyalurkan info terkini berkaitan dunia pendidikan,
Apa yang baik itu adalah dariNYA manakala kesilapan dan kekurangan itu adalah dari saya selaku manusia biasa yang tidak lari dari kesilapan...
Sehingga bertemu lagi...
Harap kalian bersabar menunggu update baru dari editor yang baru...
************
Tahniah kepada murid2 ku yang berjaya masuk ke sekolah berasrama...
1. Amirus Syahiir Amizan : SBPI Gopeng
2. Syadiyah Nazahah Shahrol : SMSains Tapah
3. A'qilah Mohd Basri : SMSains Tapah
4. Mohd Firdaus Shamsul : SMSains Tapah (menarik diri)
5. Nurhanis Safa Zaini : SMKA Slim River
6. Farah Diana Mohd Ariff : SMKA Slim River
-----------
Senarai yang berjaya ke KAA dan RK belum diperolehi...
Thursday, March 25, 2010
Tahniah... Selamat Maju Jaya

TAHNIAH! kepada En. Halin B. Othman (HBO) yang telah ditawarkan kenaikan pangkat sebagai Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum di SK Proton City mulai 16 Mac 2010.
Semasa di SKSV, Cikgu HBO memegang jawatan sebagai Penyelaras Bestari. Beliau juga merupakan bekas pemeriksa kertas UPSR Sains. Sikap beliau yang 'ringan tulang' dalam menyelesaikan masalah rakan sekerja, terutama yang berkaitan komputer & alatan eletrik, pastinya akan menyebabkan ketiadaan beliau dirasai oleh hampir seluruh warga SKSV.
Untuk rekod, Cikgu HBO bertukar ke SKSV dari sebuah sekolah di daerah Hulu Perak. Pengalaman semasa sekolah-sekolah sebelum ini pastinya mematangkan beliau untuk menjalankan tugasan baru ini nanti.
Setelah kurang lebih 5 tahun di SKSV, pastinya banyak jasa yang telah dicurahkan kepada murid-murid dan juga sekolah. Penulis mewakili rakan-rakan sejawat mengucapkan terima kasih tidak terhingga di atas apa yang telah dilaksanakan sepanjang Cikgu HBO di SKSV. Budi dan jasa yang anda curahkan hanya Allah swt sahaja yang dapat membalasnya. Semoga Cikgu HBO semakin bersemangat di sekolah baru kelak! Selamat bertugas di tempat baru, bangunan baru, kawan-kawan baru!
Asam pedas dicampur keladi,
Sedap dimakan bersama nasi,
Ikutlah seperti resam padi,
Makin tunduk makin berisi.
Masak lemak gulai cendawan,
Bersama nasi dibuat bekal,
Pahit dahulu manis kemudian,
Itulah hadiah insan yang cekal.
Berjalan kaki ke rumah bilal,
Tiada penat jaraknya dekat,
Mencari rezeki mestilah halal,
Hidup tenang penuh berkat.
Monday, March 8, 2010
Guru Tambahan Pendidikan Islam
Guru tersebut adalah Cik Rabiatul Adawiyah Bt. Khamid. Beliau merupakan lepasan Sekolah Izuddin Shah Ipoh. Buat masa ini, beliau ditugaskan sebagai Guru Beredar di SJKT Trolak.
Maaf kerana berita ini agak lewat untuk disiarkan.
Friday, January 22, 2010
Salam Perpisahan
SK SLIM VILLAGE, 22 JAN - Mulai minggu hadapan, SKSV bakal kehilangan seorang guru muda, Cikgu Amri. Beliau yang baru sahaja mendirikan rumahtangga semasa cuti sekolah yang lalu telah dapat bertukar ke sebuah sekolah di kawasan Bidor.Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati...
Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang jua..
Setelah lebih 5 tahun menabur bakti di SKSV, banyak jasa yang telah dicurahkan kepada murid-murid dan juga sekolah. GPI SKSV mewakili rakan-rakan sejawat mengucapkan jutaan terima kasih di atas apa yang telah dilaksanakan sepanjang Cikgu Amri di SKSV. Budi dan jasa yang tuan curahkan hanya Allah swt sahaja yang dapat membalasnya. Semoga Cikgu Amri semakin bersemangat di sekolah baru kelak! dan.. berbahagia di sisi insan tersayang dan selamat bertugas di tempat baru!
*Catatan: Beliau pernah menyandang jawatan Setiausaha Sukan 2007, aktif dalam hal-hal berkaitan padang dan balapan. Juga kerap terbabit dalam penyediaan latarbelakang pentas untuk majlis-majlis rasmi di Dewan SKSV.
Tuesday, May 26, 2009
Wednesday, April 29, 2009
Laporan Berita Minggu: Apa komen guru lain?
Guru tertekan dahului wang sendiri tampung aktiviti sekolah
Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
Tanggungjawab 'terpaksa' sudah jadi tradisi bagi warga pendidik sejak dulu lama
KUALA LUMPUR: Ramai guru mendakwa tertekan kerana terpaksa mendahulukan wang sendiri untuk menampung aktiviti sekolah dan keadaan itu lebih terasa dengan kegawatan ekonomi yang berlaku ketika ini, selain gaji guru yang dikatakan masih rendah.
Kebanyakan guru yang dihubungi Berita Minggu mengeluh lantaran sering dibebani tanggungjawab 'terpaksa' itu kerana sudah menjadi tradisi sejak sekian lama, guru terpaksa berkorban segala aspek termasuk wang ringgit demi melaksanakan tugas sebagai pendidik.
Mereka yang hanya bersedia menggunakan nama ringkas lantaran khuatir dikenakan tindakan atas pendedahan ini, mengakui senario itu sudah berlaku begitu lama tetapi belum ada sebarang tindakan meskipun sudah ramai guru merungut setiap kali menguruskan aktiviti sekolah.
Seorang guru di Pulau Pinang, Khairul Zaki, berkata pengurusan sekolah yang tidak cekap menjadi punca utama menyebabkan ramai guru yang dianggap teraniaya kerana terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk aktiviti membabitkan pelajar.
Guru kaunseling itu mendakwa pernah berlaku, beberapa rakannya ditugaskan mengiringi pasukan bola sepak ke kejohanan peringkat daerah terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk tujuan menyewa bas, makan minum pelajar untuk dua hari dan semua perbelanjaan runcit yang lain.
"Khabarnya, mereka membelanjakan RM1,000 dan dikongsi bersama tiga orang guru. Memang selepas kejohanan, mereka boleh tuntut semula duit itu daripada pentadbir tetapi agak lambat untuk mendapatkannya. Ia nyata membebankan mereka.
"Itu kes besar. Jika nak diperincikan, banyak lagi 'pengorbanan' terpaksa yang selalunya membebankan guru. Saya sendiri kerap terpaksa mengeluarkan duit sendiri jika mahu menyediakan bahan untuk program kaunseling, sedangkan ia adalah untuk aktiviti sekolah," katanya yang sudah hampir 10 tahun mengajar.
Bagi Kamarul Azizi yang berpengalaman selama tujuh tahun mengajar di daerah Kuala Selangor, tekanan yang dihadapi guru di situ agak berat kerana setiap kali mereka dikehendaki membawa pelajar melakukan sebarang aktiviti, pasti duit poket mereka yang akan 'melayang'.
"Pernah beberapa kali kami dikehendaki membawa pelajar ke kejohanan merentas desa peringkat negeri. Apabila kami meminta duit daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), mereka kata tak ada peruntukan. Atas rasa prihatin, kami terpaksa berkongsi semua perbelanjaan dan mengemukakan tuntutan selepas kejohanan tetapi malangnya ada yang tidak dibayar," katanya.
Guru di Johor, Medan Malik, berkata akibat terlalu kerap menggunakan duit sendiri untuk aktiviti sekolah, ramai guru yang sudah hilang keikhlasan untuk memastikan pelajar mereka berjaya dalam sebarang aktiviti luar.
Katanya, guru kini lebih selesa menumpukan kepada tugas utama mereka iaitu mengajar dan sering mengeluh jika dikehendaki menguruskan sesuatu aktiviti.
"Aktiviti sekolah pula semakin banyak. Semuanya perlukan duit. Guru bukan ramai sangat. Jika aktiviti itu bertindan, suka atau tidak mereka terpaksa juga bawa pelajar," katanya.
Guru di Kedah pula, Jasnie Nayan, berkata keadaan di sekolahnya lebih teruk kerana jika ada guru yang mengadu atau enggan menguruskan pelajar, mereka akan diugut oleh guru besar yang menggunakan kuasanya untuk mengambil tindakan, termasuk mengugut mereka boleh diberhentikan kerja dalam tempoh 24 jam.
Apa yang lebih mengecewakannya banyak aktiviti di kawasannya hanya dimaklumkan oleh PPD atau Jabatan Pelajaran Kedah (JPNK) melalui telefon dan apabila aktiviti itu selesai, proses membuat tuntutan sangat rumit kerana tidak ada surat rasmi.
"Jika ada surat sekalipun, ada aktiviti yang dianjurkan oleh agensi lain. Kami sebagai guru hanya mengikut arahan, apa lagi jika ia datang daripada PPD atau JPNK. Masalahnya, apabila ia aktiviti agensi lain, mereka kata PPD tak ada peruntukan untuk perbelanjaan itu. Guru juga yang teraniaya," katanya.
Guru di Cheras, Shamsiah Hanif, berkata meskipun dia tak pernah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk aktiviti sekolah, hampir semua aktiviti yang diuruskannya memerlukan pengorbanan kewangan daripadanya.
"Tidak lama lagi ada satu pertandingan tarian peringkat daerah. PPD hanya tahu menganjurkannya dan pihak sekolah pula mengarahkan guru menghantar pasukan. Masalahnya, nak menari mesti ada pakaian. Takkan menari pakai pakaian sekolah.
"Apabila berbincang dengan penolong kanan atau pengetua, mereka kata tak ada peruntukan. Cikgu carilah sendiri. Pening kepala memikirkannya. Nak sewa, mana nak cari duit. Nak tarik diri nanti diberi amaran," katanya.
Semua guru itu mahu kementerian bertindak segera mengatasi masalah berkenaan supaya guru tidak terus tertekan dan dapat melaksanakan aktiviti sekolah dengan lebih berkesan.
Saturday, April 4, 2009
Hari Pembebasan.. sahabat..
1. R. Kenghadharan, 40, peguam - Hindraf, ditahan 2007
2. V. Ganabatirau, 40, peguam - Hindraf, ditahan 2007
3. Mohd Nazri Dollah, 34, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan di Tawau, Sabah - Anggota kumpulan militan Darul Islam Sabah, ditahan April 2002 (2006?)

4. Pakana Selama, pemastautin tetap Malaysia - Anggota kumpulan militan Darul Islam Sabah, ditahan April 2002
5. Artas A. Burhanuddin, 41, jurukur gred - Anggota kumpulan militan Darul Islam Sabah, ditahan April 2002
6. Francis Indanan, 41, pemandu teksi - Anggota kumpulan militan Darul Islam Sabah, ditahan April 2002
7. Idris Lanama, 34, peniaga - Anggota kumpulan militan Darul Islam Sabah, ditahan April 2002
8. Binsali Omar, 43, rakyat Filipina dengan taraf pemaustatin tetap Malaysia, penyelia syarikat - Anggota kumpulan militan Darul Islam Sabah, ditahan April 2002
9. Pakana Selama dari Sabah - Anggota kumpulan militan Darul Islam Sabah, ditahan April 2002
10. Amir Hussain, warganegara Myanmar, berhubung kesalahan palsukan dokumen
11. San Khaing, warga Myanmar berhubung kesalahan palsukan dokumen
12. Sundaraj Vijay, warganegara India berhubung kesalahan palsukan dokumen
13. Wan Amin Wan Hamat, anggota Jemaah Islamiah : pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia.
~~~~~~~~~~~~~~~
* Penulis langsung tidak mengetahui tentang kegiatan beliau sehinggalah berita mengenai penahanan beliau di Kem Kamunting pernah penulis baca suatu ketika dulu. Alhamdulillah, beliau sudah bebas! Bagaimana statusnya sebagai seorang guru? masih kekal? atau diberhentikan? Semoga beliau dan keluarga di bawah naungan dan hidayah daripada Allah..
Thursday, April 2, 2009
Kes berat ni...
Keratan ini dipetik dari Kosmo Khamis 2 April. Bagi penulis, ianya satu kes yang sangat berat dan serius. Namun, perlu juga diselidik tentang latarbelakang kesihatan murid berkenaan. Adakah beliau mempunyai masalah lain...Bagi guru wanita berkenaan, mungkin tindakan yang telah anda ambil diluar kawalan emosi anda. Diharap pihak NUTP dapat membantu guru berkenaan daripada dikenakan tindakan mahkamah (andaikata ibubapa murid berkenaan akan menyamannya..)
Buat murid-murid.. dengarlah nasihat guru..
Tuesday, December 30, 2008
Kembali Ke Sekolah...
Untuk murid-murid yang belajar di SKSV.. mungkin mereka telah berkunjung ke kedai-kedai atau Pasaraya seperti: TF Value Mart, Famili Mart, GrandBuy, Bilion, BB Kim Wah, Kellass, Grand Union, atau beberapa kedai lain yang tidak dinyatakan di sini...
Atau mungkin ada di antara ibubapa mereka yang berkemampuan, membeli di bandar lain yang lebih jauh.. seperti di Rawang (Giant, Jusco, Mydin, Bintang) atau di Tesco Kampar. Mungkin juga ada ke The Store Teluk Intan..
Itu semua adalah bergantung kepada kepandaian atau kemampuan ibubapa menguruskan keperluan persekolahan anak-anak SKSV. Jikalau pakaian tahun lepas masih elok dan baru, kenapa perlu membazir? Keadaan ekonomi sekarang menggalakkan kita semua berjimat-cermat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~
Penulis baru saja mendapat khabar mengatakan terdapat dua guru SKSV akan bertukar ke sekolah lain. Dan juga ada beberapa guru baru akan (atau sudah) melapor diri di SKSV.
Itu semua akan diumumkan di sini selepas menerima pengesahan daripada pihak pengurusan.
# Persoalannya.. masihkah GPI SKSV akan mengajar di SKSV? atau turut ditukarkan ke sekolah lain? Dan adakah GPI akan terus mengajar subjek PI di SKSV...? Atau mendapat subjek-subjek lain...
Rasanya.. isu itu tidak timbul.
Sudah menjadi kelaziman, guru opsyen PI akan tetap mengajar PI.. forever and ever..(dan juga beberapa subjek lain yang sesuai).
Tetapi guru opsyen lain TIDAK AKAN diberi mengajar subjek PI.. kenapa? anda tentu tahu jawapannya... walaupun kekadang anda merasakan guru opsyen lain di sekolah anda lebih layak untuk mengajar PI berbanding GPInya..
Itu saja untuk renungan.
Sekian..
Wednesday, November 5, 2008
Luahan seorang guru...
Semoga ia membuka minda dan mata semua pihak... baik guru baru.. baik guru lama.. JU di peringkat daerah... JU peringkat negeri.. atau mana-mana pembaca yang rasa ianya berkaitan dengan anda.. Ianya tidak bertujuan menuding jari pada sesiapa.. lebih kepada perkongsian isi hati.. Sila lah baca..
Tajuk: KEPENTINGAN PAKAR
oleh: akhimizi
SEPANJANG penglibatan saya berkhidmat sebagai seorang guru, perkara yang paling saya teruja adalah menjadi guru pakar. Kepakaran sebagai seorang guru bukan sekadar mendapat lantikan sebagai guru pakar, tetapi pakar dalam bidang pendidikan itu sendiri.
Kepakaran ini, biarpun bukan perkara fardhu ain tetapi tetap menjadi kefardhuan. Justeru istilah Fardhu Kifayah kerapkali disalah ertikan oleh kita sendiri.
Pendidikan pun begitu. Semakin lama dalam bidang pendidikan semakin banyak pengalaman mendidik. Semakin banyak pengalaman semakin matang cara dan bentuk pemikiran. Namun, adakah ukuran masa ini (lama berkhidmat) merupakan ukuran paling tepat untuk menggambarkan kematangan mendidik?
Saya sendiri tidak mengerti. Bahkan saya merasa malu jika ada di kalangan guru-guru mengiakannya. Keberadaan yang lama dalam dunia pendidikan ini adalah satu kelebihan untuk seseorang guru menambah pengalaman. Justeru, tidak semestinya dia adalah seorang yang pakar.
Lantaran itu, adalah tidak wajar guru tidak faham kod etika profesion keguruan. Sedangkan inilah perkara asas membina profesinalisme dalam kerjaya mulia ini. Persoalannya adakah wajar seseorang yang menyembunyikan identiti sebenar dirinya membuat 'kesimpulan' terhadap orang lain?
Kita sememangnya tiada seorang pun dilahirkan sebagai seorang pakar. Apatah lagi untuk mengkritik siapa-siapa, kerana pakar sebenar dia tidak mengkritik tetapi dia memimpin ke arah yang betul, mengemukan cadangan dan alternatif yang dilihatnya sesuai dan memberikan ruang kepada orang lain membetulkan kesilapan.
Saya masih ingat, Hj. Rushdan pernah menggesa setiap Jurulatih Utama (JLU) Negeri Kedah supaya menjadi pakar dalam bidang-bidang tertentu. Contohnya beliau mahukan Nazri menjadi Pakar Bestari Solat, Akmal pakar HSP, Azizi Pakar Sukatan, Rokhaimi Pakar multimedia, Md Isa Pakar ICT dan Nasir pakar segala pakar. Jika difikirkan, betullah kita kena menjadi pakar tetapi dalam masa yang sama kita harus menerima keuzuran orang lain.
Tuhan tidak melahirkan kita ini semua belaka. Ada yang hebat ada yang kurang. Justeru, terimalah kelemahan orang lain seadanya. Jika perlu bantulah untuk memperbetulkan mana yang salah, memperbaiki mana yang kurang, memperelokkan mana yang kurang molek. Bukankah ini yang lebih baik? Daripada terus mengkritik elok sahaja kita yang mengambil bahagian untuk berkerja dan menjadikan aspirasi kita satu kenyataan.
Jika namanya pakar, tentulah kemampuannya hebat. Justeru, ingatlah... pakar-pakar internet tentu boleh menjejaki jejak pelayar siber yang sengaja "baling batu, sembunyi tangan ini." Jika perlu, ubahlah sikap tidak bermoral ini segera kerana Allah pun tahu apa yang orang lain tidak tahu.
Sebarang KOMENTAR PERIBADI sila hantar ke emel. Sebarang perkataan, provokasi atau maklumat daripada user lain adalah di luar tanggungjawab penulis.
Akhi Mizi
myakhimizi@yahoo.com
http://akhimizi.blogspot.com/
Tuesday, November 4, 2008
Kekosongan 26,000 guru diisi tahun depan -BH
PUTRAJAYA: Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kekosongan 26,000 jawatan perguruan akan tetap diisi pada tahun depan walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang.
Katanya beliau juga akan memastikan 14 sekolah yang sedang dalam pembinaan akan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun depan.
“Apa jua usaha dan program untuk mempertingkatkan pendidikan kepada anak bangsa pasti terus dipertahankan dalam apa jua keadaan kerana pendidikan amat penting,” katanya kepada pemberita pada Hari Kualiti Kementerian Pelajaran di sini hari ini.
Pada majlis itu Hishammuddin menyampaikan Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran kepada Sekolah Menengah Teknik Taiping di Perak, berupa sijil, trofi dan peruntukan kewangan RM50,000.
Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran pula dimenangi Kumpulan Meningkat Mutu Kerja Jabatan Pelajaran Kelantan yang membawa pulang sijil, trofi dan peruntukan kewangan RM35,000.
Sepuluh sekolah rendah bandar diumumkan pemenang bagi kategori Anugerah Sekolah Cemerlang antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Convent, Ipoh Perak, SK Agama Miri dan Sarawak, SK (P) Sultan Ibrahim, Johor Baharu manakala kategori sekolah rendah luar bandar pula dimenangi 12 buah sekolah antaranya SK Methodist Parit Buntar, Perak, SK Sri Skudai, Johor dan SK Abang Aing, Sri Aman, Sarawak. - Bernama
Monday, September 22, 2008
Nasihat dari Timb Menteri Pelajaran...
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail berkata kementerian tidak mahu guru menjadi seolah-olah penganalisis politik dan mereka sepatutnya menumpukan sepenuhnya kepada tugas mendidik.
"Beban kerja guru sudah cukup berat. Kita tidak mahu guru kita terganggu atau terpesong dengan apa yang berlaku dalam keadaan politik sekarang.
"Jadi, saya tidak mahu mereka membincangkan isu politik di kawasan sekolah terutama di kantin," katanya selepas menghadiri mesyuarat Permuafakatan Pengurusan Pendidikan, di sini hari ini.
Razali berkata dengan peruntukan yang besar daripada kerajaan iaitu sejumlah RM31 bilion menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), guru sewajarnya sedar tugas mereka adalah memastikan transformasi murid dalam bidang akademik, kurikulum dan sahsiah benar-benar dapat dijayakan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan kementerian, demikian menurut Bernama.
Bagaimanapun, katanya setakat ini kementerian belum menerima sebarang laporan mengenai kegiatan tersebut dan menegaskan seramai 360,000 guru di seluruh negara boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya didapati melanggar etika kerja.
Sementara itu, Razali berkata bagi memastikan guru tidak terus dibebani dengan tugasan di luar tugas hakiki mereka, kementerian kini menetapkan nisbah 17 guru bagi 10 kelas berbanding 15 guru sebelum ini.
Beliau berkata bagi tujuan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan pengambilan 9,000 staf sokongan di sekolah supaya guru tidak lagi dibebani dengan kerja perkeranian atau tugasan di makmal sekolah.
Mengenai tragedi pelajar perempuan, Lai Ying Xin, 16, yang mati dibunuh selepas diculik, di Kulaijaya dekat sini, Selasa lepas, Razali berkata Jemaah Nazir sudah diarah untuk membuat pemantauan kejadian itu.
"Tidak banyak apa yang boleh dilakukan oleh kita kerana kejadian ini berlaku di luar sekolah...kita sudah membuat sesi kaunseling kepada keluarga mangsa," katanya.
dipetik dari sini
Wednesday, August 6, 2008
Teacher to be transferred - The Star
Excerpted from The Star Wednesday August 6, 2008
By WANI MUTHIAHBANTING: A secondary school teacher accused of hurling racial slurs against her Indian students recently is on leave prior to her transfer on Monday.
Deputy Minister in the Prime Minister’s Department Senator T. Murugiah, who visited SMK Telok Panglima Garang yesterday, said the teacher regretted the incident and had apologised to the students.
“She also said that she did not expect things to become so serious and has agreed to be transferred to another school,” added Murugiah who was accompanied by officers from the Education Ministry and the Prime Minister’s Department’s Public Complaints Bureau.
Two students lodged police reports against the female history teacher last Friday alleging that she had made derogatory remarks about Indian students and called them unflattering names.
According to Murugiah, recommendations would also be made to the Education Ministry to institute disciplinary action against her.
He said the issue was now considered closed and advised members of the Indian community as well as parents of the affected students to accept the teacher’s apology.
However, relatives of the affected students as well as the members of the Telok Panglima Garang Indian community refused to regard the matter as closed.
“She must make a public apology as she insulted all Indians and be transferred to a desk job and not allowed to teach anymore,” said the group’s spokesman S. Muthamil Selvan.
Coalition of Malaysian Indian NGOs secretary Gunaraj George concurred and said his organisation was preparing a memorandum on the matter to be presented to Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi and Deputy Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak.
Wednesday, July 16, 2008
Friday, June 20, 2008
Penghargaan dari GuruBashid.com
Saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ustaz Abd. Bashid atas penghargaan didalam posting di laman gurubashid.com seperti berikut:
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Panitia Pendidikan Islam SK Slim Village, Slim River, Perak yang turut memuatkan artikel saya bertajuk Pentingkah Kertas Kerja? dalam laman mereka.
Pemilik laman di atas memanggil saya ustaz, satu panggilan yang sudah lama saya tidak mendengarnya. Inilah panggilan untuk saya ketika saya mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam semasa berkhidmat di Negeri Di Bawah Bayu dari 1989 hingga 1996."
Bagi penulis, gelaran ustaz @ guru.. itu adalah sekadar 'nama'. Yang penting... kita sendiri lebih mengetahui layakkah kita digelar Guru? Cikgu? Ustaz?
Shukran jazila ya Ustaz...
Sunday, June 15, 2008
Ulama (Guru) Jalankan Tugas Nabi-nabi
Peranan nabi-nabi bukanlah kecil, memandangkan tugas utama mereka adalah mengajak manusia seluruhnya untuk kembali kepada fitrah asal kejadian mereka iaitu menyembah Allah, maka ia tidak terhenti hanya setakat itu, malah mengajar manusia juga ilmu-ilmu yang berkaitan dengan tauhid kepada Allah.
Mereka (para nabi) juga terdedah kepada tribulasi yang mengancam kedudukan sebagai nabi. Walau bagaimanapun Allah SWT memelihara mereka bukan sahaja mudah ditimpa musibah yang berat-berat, malah memelihara mereka daripada sebarang unsur yang boleh menjejas nama baik serta harga diri.
Tribulasi, ujian semasa menjalankan tugas dakwah adalah perkara biasa yang mesti dilalui mereka yang bergelar 'pendakwah', ia bagi mematang dan memantapkan kesungguhan mereka ketika berdakwah.
Walau bagaimanapun mereka tetap manusia, ia berhadapan dengan jangka hayat yang telah ditetapkan oleh qada' dan qadar Allah, iaitu menghadapi ujian kematian. Hal ini juga termasuk dalam perancangan Allah kerana bagi-Nya golongan pelapis sudah disediakan.
Ia juga menandakan bahawa manusia tidak selama-lamanya bergantung kepada pihak tertentu seperti pengikut-pengikut para nabi terdahulu, begitu juga para sahabat mesti memikul tanggungjawab menyampaikan Islam sejurus selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w.
Para sahabat memikul tugas menyampaikan ilmu
Setelah kewafatan baginda Rasulullah s.a.w., walaupun dianggap sebagai satu kehilangan besar dalam sejarah tamadun Islam dan manusia, ia segabai satu pemergian yang telah dirancang Allah, agar tugas yang telah disampaikan sebelum ini dapat disambung oleh generasi selepasnya iaitu para sahabat.
Dalam kesibukan mentadbir negara, para sahabat tidak lupa tanggungjawab memberi kesedaran agama kepada rakyat di bawah pemerintahan mereka. Ini jelas berlaku semasa pemerintahan khalifah pertama, Abu Bakar as-Siddiq, ia disambung oleh Sayidina Umar bin al-Khattab dan begitulah seterusnya.
Sebagai contoh, salah seorang daripada mereka, Mu'az Bin Jabal yang pernah dihantar baginda Rasulullah ke negara Yaman, pernah mengingatkan penduduk negara itu melalui satu ungkapan yang cukup masyhur: "Duduklah bersamaku dan beriman walau sesaat" daripada kehidupan kamu.
Kata-kata Mu'az meninggalkan kesan mendalam pada setiap diri penduduk Yaman, akhirnya menyebabkan mereka rasa bertanggungjawab untuk melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu pengetahuan agama, terutama ilmu akidah, fiqh, sirah, tafsir, hadis dan sebagainya yang dianggap sebagai ilmu-ilmu alat terpenting.
Ini bermakna, para sahabat telah menjalankan tugas dan peranan menyampaikan dakwah dan ilmu-ilmu Islam, hingga mereka juga terpaksa menyahut panggilan Ilahi untuk mengadap-Nya.
Maka tugas besar dan penting itu pula diambil alih oleh golongan Tabi'in yang memperlihatkan kesungguhan mereka berdakwah bagi memastikan kesinambungan ilmu-ilmu Islam dan dakwah diterima oleh generasi berikutnya.
Kegemilangan Islam terserlah pada zaman para ulama terbilang, mahu tidak mahu walaupun berdepan dengan pelbagai kerenah pemerintah dan rakyat yang semakin cenderung kepada kehidupan dunia yang berlebihan, dakwah Islam tetap diutamakan.
Pemerintah bersaing memuliakan ulama
Apabila Islam berkembang pesat dan semakin mendapat tempat di hati umat melalui pengembangan ilmu dan tamadunnya, terdapat para pemerintah dan ketua-ketua negara pada zaman silam, saling bersaing antara satu sama lain pada memuliakan para ulama, sasterawan serta cendekiawan.
Pernah disebut, bahawa suatu hari pada zaman silam, terdapat seorang pemerintah yang dikenali sebagai Khalifah Harun ar-Rasyid sering menjemput ulama ke istananya untuk menyemak sistem pemerintahannya, mereka dimuliakan dengan sebaik-baiknya oleh khalifah dan kemudiannya memberi hadiah atau sagu hati sebagai tanda ingatan.
Begitu juga sikap segelintir pemerintah yang cintakan agamanya, mereka menghantar utusan bagi mendapatkan khidmat para ulama untuk memantau sistem pemerintahan yang mereka jalankan agar selari dengan tuntutan hukum-hukum Islam.
Para utusan dibekalkan surat akuan pemerintah yang ditulisnya sendiri di atas sekeping warkah
yang sangat mahal harganya untuk diserahkan kepada mereka agar bersedia untuk menerima jemputan pemerintah berkenaan.
Ia tidak lain adalah untuk menghargai sumbangan ulama dalam memartabatkan Islam sebagai agama yang benar daripada Allah SWT.
Kisah Khalifah Harun dengan guru anak-anaknya
Suatu hari Khalifah Harun menjemput seorang guru kepada anak-anaknya yang dikenali sebagai Kisaie agar datang ke rumahnya untuk menjamu selera bersama keluarganya.
Kisaie seorang guru agama yang semakin kabur penglihatannya, namun kesempatan yang terluang untuk mendapat keberkatan guru diambil oleh Khalifah Harun untuk mencucurkan air ke atas tangan guru berkenaan selepas selesai menjamu selera.
Kisaie kemudiannya menyuruh agar dibawakan kedua belah seliparnya, pada kesempatan itu, kedua-dua anak khalifah iaitu al-Amin dan al-Makmun masing-masing menerjah ke muka pintu untuk mendapatkan selipar gurunya.
Pada saat itulah terjadi perebutan di antara kedua-duanya. Melihat keadaan itu khalifah memerintahkan agar masing-masing anaknya membawa selipar tersebut sebelah sahaja, mereka berdua akur dengan arahan tersebut.
Selepas tuan guru tersebut keluar dari rumah, salah seorang para hadirin telah bertanya kepadanya: Barangkali mungkin tuan guru kenal orang yang telah mencucurkan air ke atas tangan dan meletakkan selipar di hadapan kaki tuan guru tadi.
Kisaie menjawab: Manalah aku tahu semuanya, boleh jadi yang lakukan semua itu khadam, walau apapun semoga Allah sentiasa memeliharanya.
Orang yang bertanya tadi menjelaskan, bahawa sebenarnya yang mencucurkan air ke atas tangan tuan guru adalah khalifah sendiri sementara kedua-dua anaknya yang telah membawakan kedua-dua belah selipar.
Mendengar penjelasan itu, Kisaie segera memanjatkan doa kepada Allah agar kehidupan baginda khalifah sekeluarga sentiasa diberkati dan dirahmati Allah, di samping mengangkat taraf martabat dan kedudukan mereka, baik di dunia mahu pun di akhirat.
Allah memuliakan ulama
Allah SWT menegaskan melalui firmannya dalam ayat 122 surah at-Taubah: "Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)."
Ayat di atas menjelaskan bahawa, menuntut ilmu itu satu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Ulama mesti belajar secara mendalam tentang urusan ilmu agama yang bertujuan supaya menyedarkan kaumnya daripada terjebak dalam melakukan perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan nilai-nilai agama.
Jika tugas menuntut ilmu dapat dicapai dengan baik, kemudian dapat pula menyampaikannya kepada umat agar sentiasa berjaga-jaga dan waspada, tidak ada sebab mengapa mereka tidak dimuliakan Allah, itulah yang akan melonjakkan kedudukan sebenar ulama yang sebenar yang mahu dihasilkan oleh Islam.
Seorang tokoh ulama kontemporari, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi ada menjelaskan dalam bukunya 'Rasul dan Ilmu', apabila ulama mampu menjana lima perkara berikut, pasti mereka akan dimuliakan Allah SWT, sekali gus melonjakkan mereka diri sebagai pewaris tugas nabi-nabi:
* Amanah terhadap ilmu yang dipelajari.
* Rasa mendalam terhadap tanggungjawab kepada agama, negara, masyarakat.
* Memilki ciri kemuliaan diri (untuk menyelamatkan agama daripada penyelewengan).
* Memilki ciri tawaduk yang diperlukan.
* Beramal sesuai dengan tahap ilmu di dada.
* Ulama yang mendapat kehinaan
Perkara ini telah disingkap Allah melalui firman-Nya ayat 176 surah al-'Araf yang bermaksud: "Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir."
Sesungguhnya Allah umpamakan ulama yang cenderung kepada kehidupan dunia yang berlebihan serta tidak menjalankan tugas menyampaikan Islam ibarat seekor anjing yang hina di sisi Allah SWT.
Kerana ayat tersebut diturunkan ke atas seorang ulama Bani Israil bernama Bal'am Bin Bau'rak, yang diamanahkan Nabi Musa untuk menyampaikan Islam kepada Firaun memandangkan keilmuannya yang cukup tinggi dibandingkan dengan orang lain pada waktu itu.
Bal'am bersetuju untuk berbuat demikian, tetapi sesampainya dia di istana Firaun, dia berpaling tadah tidak mahu menyampaikan tugasnya untuk berdakwah, malah mengikut segala telunjuk Firaun yang menjanjikan pulangan lumayan.
Maka kisah tersebut diabadikan dalam al-Quran sebagai bahan renungan kepada generasi hari ini dan akan datang, agar tidak terperangkap dengan bisik rayu syaitan yang dikutuk Allah sampai hari akhirat.
- Zainuddin Hashim Mon Jun 02, 08 1:13:46 pm MYT
Friday, June 13, 2008
Wednesday, May 28, 2008
Ringkasan Poll
Komen anda tentang tugasan guru masakini:
a) relaks sangat 12%
b) biasa-biasa saja 12%
c) penat sikit, tak macam dulu 50%
d) sangat membebankan 25%
Sekian, terima kasih kepada yang memberi pandangan dan undian.
Friday, May 23, 2008
Mesyuarat Hari Keluarga SKSV 2008
Masa: 11.00 pagi
Lokasi: Makmal Komputer SKSV
Kehadiran: Diwajibkan.
Mesyuarat ini akan membincangkan program khas Guru dan Kakitangan SKSV.
Program yang dicadangkan : Hari Keluarga Kelab Guru SKSV, pada hujung bulan Jun.
Cadangan tempat: Chalet Sg. Hj. Dorani, Sg. Besar.
Cadangan program:
a) Treasure Hunt
b) Suaikenal
c) Dinner
d) Aktiviti Bebas
e) Pertandingan Memancing
f) Sukaneka
Diharap semua guru dapat memberikan kerjasama bagi menjayakan program ini.
"Bulat air kerana pembetung, bulat guru SKSV kerana..."

